Bukannya sedikit kenalan yang minta bantuan daripada saya. Ada yang sampai terpacak depan pagar rumah, berparang berkayu pun ada. Semuanya kerana terSONTOT emas.
Tapi semuanya saya suruh pulang. Saya pesan, lupakan hal yang berlalu, jadikan pengajaran, dan mulakan hidup baru. Tiada apa yang boleh ditolong lagi.
Berikut adalah SEBAB-SEBAB TERAGUNG, kenapa kau mesti lupakan ribu-ribu ringgitmu yang telah hangus:
1) Pembekal > Kaki 1 > Kaki 2 > Kaki 3 > ...
Begitulah perjalanan emas (yang 'fizikal' kononnya) dari 'Kaki' teratas hingga ke tangan anda. Anda sendiri mungkin tak pasti di 'Kaki' yang mana anda berada.
2) Nak cakap dari segi hukum, awal-awal lagi dah FAILED. Masakan tidak, jualbeli emas pun bertangguh. Nak pakai hukum khilaf (beza pendapat ulama) konon.
3) Lagi sedih, dahlah tak beli emas fizikal, tapi beli PROGRAM emas. Siapa yang ajar melabur macam tu? Lepas tu tuduh Kaki teratas yang perdaya. Eh, bukan diri sendiri yang tipu diri sendiri?
4) Dari segi undang-undang pun dah FAILED. Kalau dah beli PROGRAM emas, nak tulis apa dalam resit transaksi? Atas nama apa? Kalau nak tulis "jualbeli emas", mana emasnya? Nak tulis "yuran keahlian kelab", mana nombor ROS kelab? Mana bukti serahan barang Delivery Note/Order? Nak tipu dan tulis atas nama servis? Servis apa?
5) Tahukah anda, Bank Negara hanya meluluskan jumlah MAKSIMUM deposit tunai yang boleh dikutip dari pencarum hanya RM200 SAHAJA. Kecuali badan yang disahkan, dan diinsurankan seperti bank, KWSP, Amanah Saham dll. Penat-penat PIDM buat iklan juta-juta ringgit di TV, masih tak nak faham.
6) Alangkan syarikat yang diluluskan Bank Negara pun boleh menipu (sila baca kes "Pacat dan Anjing" tulisan saya sebelum ini). Sebab itu, saya kata Tuan Man yang tak pendidikan tinggi pun lebih bijak dari mereka yang tersontot PROGRAM emas.
7) Jadi, nak bawa kes ke muka pengadilan? Siap tunjukkan pada saya salinan perjanjian kedua-dua pihak. Memang awal-awal dah FAILED. Sebab pembelian skim/PROGRAM emas tu dah la tak sah di sisi undang-undang. Silap-silap dengan anda sekali masuk penjara sebab bersubahat. (Saya dah rujuk pengamal undang-undang).
8) Ibaratnya, macam buat perjanjian bertulis main judi poker. Lepas tu kena tipu, bawa kes ke mahkamah untuk diadili. Belum buka mulut pun, polis dah buka gari. Jadi, macam mana saya nak tolong?
9) Bukan itu saja. Dengan semua duit dan harta yang terlibat dalam transaksi DIRAMPAS! Tak pasal-pasal nanti anak bini merempat.
10) Tahukah anda? Salah seorang penipu, dikenali dengan nama F, lelaki berusia 20-an, dipercayai Kaki Teratas dengan pembekal emas, adalah orang yang paling dikehendaki negara. Lelaki ini, kalau kita tangkap lebih awal sebelum pihak polis, insyaAllah duit-duit anda sempat diselamatkan.
11) Tapi, sayang seribu kali sayang. Polis lebih pantas dari orang biasa seperti kita. Budak ini berjaya diserbu polis akhirnya di Seremban baru-baru ini. Tunai RM152 juta, berjaya dirampas, dan aset disita. Sila rujuk laporan akhbar. Budak ni baru balik umrah oiii....
12) Tahukah anda ke mana perginya duit mereka yang (kononnya) ditipu ini? Ke AMANAH RAYA. Ia dah jadi harta negara sekarang. Sebab itu, saya cuma dapat ucapkan "Padan Muka korang" betul-betul di muka mereka yang terpacak di pagar rumah kami.
13) Lepas tu, yang saya lagi sedih, bebudak di Kaki Bawah ni beramai-ramai bawa parang memburu Kaki Atas. Contohnya, Kaki 4 berkumpul nak tetak Kaki 3. Kaki 3 ni dah cuak, dia bawa semua orang jumpa Kaki 2. Dah tu, Kaki 2 nak bawa jumpa siapa lagi? Kan Kaki 1 dah kena tangkap polis.
14) Sudahnya, Kaki-kaki ini cari saya malam-malam buta. Ingatkan nak dapat nasihat dan kata putus. Tak pasal-pasal semua kena "Bodoh" dari saya.
15) Maaf, saya terpaksa hamburkan kata-kata itu. Biar pedih, selain duit mereka yang hangus, kata-kata itu cukup mengajar mereka. Jika tidak, tak hairankah kita lihat ramai manusia "bodoh" berkali-kali masuk perangkap yang sama.
16) Kaki 4 nak marah sangat dan tuntut duit dari Kaki 3 dan 2 ni kenapa? Duit kau semua dah hangus pergi Amanah Raya. Lainlah kalau Kaki 1 lari keluar negara, masih ada peluang lagi nak upah pembunuh (nauzubillah, minta dijauhkan).
17) Kaki 4 suruh Kaki 3 ganti balik. Kaki 3 salahkan Kaki 2. Lepas tu saya tanya 1 soalan pada mereka semua, "Tuan-tuan, kalaulah Kaki 2 ada duit dalam RM2k misalnya, siapa rasa dirinya patut dibayar dahulu?" Semua orang angkat tangan. "Bodoh." Ha, kena sekali lagi.
18) Kenapa kena lagi 1 kali? Kalau semua nak dibayar dulu, mana Kaki 2 nak dapat jumlah terkumpul serentak RM1juta? Itu namanya tak logik. Habis dia pun manusia. Dia nak makan apa? Pakai tidur bini anak dia macam mana? Lagipun, kenapa nak suruh Kaki 2 tanggung? Kaki 3 pun kena heret sekali. Baru adil.
19) Tahukah anda, jika ada Kaki 3 dan Kaki 2 sampai tahap nak bunuh diri, siap semua Kaki 4 akan disoal-siasat polis. Kerana mengancam dan menekan.
Pesan saya buat mereka yang tersontot. Lupakan kisah lama. Halalkan wang yang lebur. Kerana sesungguhnya ia petanda hartamu terlepas dari tanganmu. Buka buku baru. Berhijrah. Mulakan hidup dengan rendah hati dan tawadhuk.
Lain kali, jangan serah duit anda pada orang lain, kecuali anda sendiri yang usahakannya.
Nak tahu tak, ada lagi pelaburan paling risiko, paling untung namun risiko paling selamat?
RISIKO paling tinggi, tapi paling SELAMAT. Ha, pelik tu, kan?
Ada banyak sebenarnya. Kawan saya, bela udang harimau dalam bilik sewa bujangnya. Ada yang tanam cendawan di garaj kereta. Bela ikan atas bumbung rumah, pakai air hujan. Ha, itu kalau risiko rugi, hanya 'terbakar' di tangan sendiri. Di depan mata.
Sekurang-kurangnya,
tidaklah hina sangat kerugian itu,
berbanding wang anda hilang kerana atas kebodohan sendiri.
Binalah hidup baru~
Mungkin dunia barumu lebih hebat dari dahulu?
Aminnnn....