Monday, 16 March 2015

Hebat anak muda ni, baru berusia 14 tahun sudah mampu warisi perniagaan keluarga


SEBERANG TAKIR - Tiada siapa menyangka dalam usia yang masih terlalu mentah, Muhamad Aimy Shahril Mohamad Zain, 14, diberi kepercayaan untuk menguruskan perniagaan berasaskan makanan laut milik keluarganya.

Muhamad Aimy Saharil yang memilih untuk tidak meneruskan persekolahan sebaik tamat UPSR kira-kira dua tahun lalu, mengakui tidak menyesal dengan pilihan kerana minatnya untuk berniaga begitu mendalam.

Menariknya, meskipun Muhamad Aimy Shahril masih lagi dikategorikan sebagai kanak-kanak, namun pemikiran dan pandangan jauhnya dalam perniagaan wajar diberi pujian.

Perniagaan berasaskan makanan laut seperti ikan kering, ikan bilis, belacan dan budu di Kampung Hujung Tanjung Seberang Takir itu pada asalnya diwarisi bapanya, Mohamad Zain Sulong, 64, daripada Allahyarham datuknya yang juga pelopor suatu ketika dahulu.


Miliki keupayaan luar biasa

Keupayaan luar biasa yang dimiliki Muhamad Aimy Shahril sememangnya mendatangkan rasa kagum kepada sesiapa sahaja yang melihat kerana pada usia yang masih terlalu muda itu, dia sudah mampu mengendalikan perniagaan yang bertapak sejak lebih 30 tahun lalu.

“Sejak kecil lagi saya sudah biasa mengikut ayah (Mohamad Zain) melakukan kerja-kerja menguruskan perniagaan keluarga ini dan dari situlah minat semakin bertambah dan kini segala urusan termasuk jual beli saya kendalikan sendiri.

“Tidak dapat dinafikan pada mulanya, ramai yang sangsi dengan kebolehan saya kerana orang melihat usia dan penampilan saya, tetapi lama kelamaan mereka bertambah yakin untuk menjalankan perniagaan dengan saya,” katanya.

Kata Muhamad Aimy Shahril lagi, tugasnya bukan sahaja memegang duit keuntungan semata-mata, sebaliknya ia bermula daripada tugas membeli ikan, memproses sehingga kepada urusan terakhir iaitu menjual kepada peraih atau pelanggan yang datang sendiri untuk mendapatkan bekalan itu.

“Selain saya sendiri yang melakukan kerja-kerja ini, saya turut dibantu enam pekerja dan jumlahnya bergantung kepada bekalan ikan yang diperoleh daripada nelayan yang sememangnya biasa dengan kami,” katanya.


Buat bekalan lebih sebelum musim tengkujuh

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesan musim tengkujuh terhadap perniagaan yang sememangnya bergantung pada faktor cuaca itu, menurut Muhamad Aimy Shahril, perkara itu tidak mendatangkan masalah besar kerana bekalan lebih dibuat sebelum kedatangan musim tengkujuh.

“Selalunya, sebelum memasuki musim tengkujuh, kami akan membuat bekalan yang lebih banyak berbanding bulan-bulan biasa bagi memastikan permintaan pelanggan dapat dipenuhi nanti.

“Malah, kebanyakan pelanggan atau pembekal adalah terdiri daripada orang sudah lama menjalin hubungan perniagaan sejak arwah datuk saya, selain penduduk setempat,” katanya.

Muhamad Aimy Shahril juga turut bertekad untuk memastikan perniagaan yang diasaskan keluarganya itu akan terus bertahan kerana pengusaha berasaskan makanan laut di kawasan berkenaan semakin berkurang atas pelbagai faktor.

“Impian saya untuk melihat perniagaan ini terus dikembangkan dan saya tidak mahu mensia-siakan pengorbanan untuk tidak meneruskan persekolahan dengan membuktikan bahawa tidak mempunyai pendidikan tinggi juga saya mampu berjaya,” katanya, yang juga anak bongsu daripada lapan beradik.


No comments:

Post a Comment