Petang ini saya melalui tanah bendang ketika ke masjid. Padi menghijau. Teringat wajah ayah, dengan garis tua dimamah usia dulu, meniti batas bendang melihat padinya.
Ayah mengerjakan bendang sekangkang kera, dan menyewa bendang orang untuk memberi kami makan dan sekolah. Bila saya mula bekerja, suatu hari saya memujuknya supaya berhenti mengerjakan dan menyewa bendang.
Saya tahu jerih payahnya. Kami adik-beradik sama melaluinya bersama ayah.. Jawapan ayah ringkas.
"Aku buat bendang bukan kerana nak kaya. Aku buat bendang supaya aku boleh keluar zakat. Kalau harap bendang kita saja, hasil tak cukup nisab, kena sewa tanah orang baru cukup."
Saya terus membungkam. Dalam usia yang hampir senja, ayah masih memikirkan untuk menunaikan rukun yang dituntut. Dia mencari jalan untuk menunaikannya, sedangkan banyak orang mencari jalan mengelak dari bayar zakat..
Kini, ayah telah kembali mengadap Ilahi. Ya Allah, ampunilah dia!
IKTIBAR: Pernahkah kita berfikir untuk berusaha supaya kita dikenakan zakat? Zakat pendapatan, zakat barang kemas, zakat perniagaan, zakat simpanan wang dll.
Ada orang mencari helah untuk lepas dari membayar zakat. Ada orang yang simpan barang kemas akan memakainya setahun sekali untuk lepas dari bayar zakat.
Ada peniaga memindahkan modal dan keuntungan untuk mengurangkan zakat. Ada orang marah jabatan agama kerana buat potongan zakat gaji. Ada orang keluarkan duit simpanan bank sementara supaya tak kena zakat simpanan.
Hakikatnya zakat adalah rukun, seperti solat dan puasa dan haji. Pahalanya tentu amat besar.
FIKIR-FIKIRKANLAH. AYUH KITA BERUSAHA SUPAYA KITA BOLEH BERZAKAT, BOLEH MENUNAIKAN RUKUN ISLAM.
Kalau puasa, kita begitu gigih menahan lapar sebulan, haji mengumpul duit bertahun, kenapa tidak berusaha segigih itu untuk berzakat.
ZAKAT MENYUBURKAN HARTA
No comments:
Post a Comment